KUANTAN – Gara-gara terpengaruh dengan iklan televisyen mengenai produk kecantikan terkenal, seorang pesara terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15,900.
Kira-kira dua tahun lalu, Hamidah, 50an terpedaya dengan iklan produk tersebut yang mampu menjadikan kulit mukanya yang berjeragat kembali berseri.
“Pada mulanya saya tertarik dengan rawatan percuma yang ditawarkan oleh pusat kecantikan kerana mempunyai masalah jeragat yang agak teruk.
 “Tetapi selepas dipujuk dengan konsultan kecantikan, saya bersetuju untuk menjalani 10 kali rawatan dengan kos RM3,700,” katanya ketika ditemui pemberita di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.
Hamidah berkata, setelah menjalani empat rawatan di pusat tersebut, tiada perubahan positif pada kulit mukanya seperti yang dijanjikan oleh konsultan terbabit.
 Sebaliknya, pakar kecantikan itu menyarankan kepada saya supaya melakukan rawatan berteknologi tinggi supaya kelihatan lebih muda dan tiada kesan jeragat.
“Saya didesak beberapa kali supaya menjalani kaedah baru walaupun rawatan yang terdahulu masih berbaki enam kali rawatan lagi.
“Pada mulanya saya enggan menjalani rawatan berteknologi tinggi namun pakar kecantikan meyakinkan untuk membayar RM12,200 pada hari yang sama,” katanya.
Dia berkata, pakar kecantikan itu sanggup membawanya ke bank semata-mata untuk mengeluarkan wang tersebut.
Akhirnya dia membayar sebanyak RM12,000 dalam bentuk cek dan selebihnya secara tunai untuk rawatan kedua namun hanya diberi lapan rawatan sahaja.
“Saya amat kecewa dengan mutu perkhidmatan yang diberi kerana tidak setimpal dengan bayaran yang dikenakan terlalu tinggi.
“Selepas itu, saya tekad untuk menuntut segala kos rawatan yang dibayar kepada pusat kecantikan sebagai ganti rugi wang dan masa yang dihabiskan sepanjang menjalani rawatan kecantikan,” katanya.
Presiden TTPM, Quaik Chong Yu mengarahkan pihak penentang membayar RM7,900 kepada penuntut selepas 14 hari award dikeluarkan.