Kanser Hati
HEPATOCELLULAR Carcinoma (HCC) atau barah hati meragut nyawa hampir 610,000 penduduk dunia setiap tahun. Ia menyerang lebih ramai lelaki, mencecah tiga kali berbanding wanita. Di Malaysia, barah hati adalah barah kelima paling biasa dihidapi lelaki, mencatatkan 5.7 kejadian bagi setiap 100,000 penduduk.
Penyakit ini biasanya dihidapi lelaki berusia 50 hingga 60 tahun terutama di beberapa bahagian benua Afrika dan Asia berbanding utara atau selatan Amerika dan Eropah.
Tidak seperti barah hati metastatik, HCC tidak bermula dari organ lain - seperti barah payu dara atau kolon - dan mula merebak ke hati. Dalam kebanyakan kes, punca biasanya adalah parut pada hati atau chirrhosis.
Chirrhosis boleh disebabkan oleh alkohol (penyebab utama di Amerika Syarikat), masalah auto imun, penyakit yang menyebabkan radang berpanjangan di hati, Hepatitis B atau C dan terlalu banyak iron dalam tubuh (hemochromatosis).
Pesakit yang menghidap Hepatitis B atau C berhadapan risiko mendapat barah hati walaupun tidak mengalami chirrhosis.
Barah hati sukar dirawat kerana kemoterapi biasa tidak berkesan. Ia hanya boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal sebelum merebak dan jika pesakit cukup sihat untuk menjalani pembedahan.
Bagaimanapun pembedahan selalunya tidak dapat dilakukan kerana penyakit dikesan terlalu lewat disebabkan gejalanya yang hanya dilihat di peringkat lanjutan. Ramai pesakit meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis dan kerana itu juga barah hati dikenali sebagai pembunuh senyap.
Apabila seseorang disahkan menghidap HCC, jangkaan untuk rawatan yang berkesan agak tipis kerana hakikatnya hanya 10 hingga 20 peratus HCC yang boleh dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sekiranya barah tidak dapat dibuang sepenuhnya, penyakit ini biasanya boleh membawa maut dalam masa tiga hingga enam bulan.
Kelangsungan hidup berbeza mengikut pesakit dan dalam kes tertentu, jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga enam bulan. Antara komplikasi yang dihadapi adalah pendarahan dalam perut, kegagalan hati dan merebaknya (metastasis) carcinoma.
Pakar Perunding Onkologi, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata buat masa ini sorafenib adalah satu-satunya rawatan anti barah oral yang boleh didapati dan program NexPAP yang dilancarkan hasil kerjasama Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia bertujuan membantu membawa perubahan ke dalam hidup pesakit dan keluarga mereka.
“Dengan pilihan rawatan berkesan seperti ubat sorafenib, kami boleh membantu membaiki peluang pesakit untuk hidup dan meringankan beban kewangan untuk kos rawatan,” katanya pada majlis meraikan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ sempena Hari Bapa, baru-baru ini.Sebagai satu-satunya ubat oral yang diluluskan Kementerian Kesihatan untuk merawat barah hati, sorafenib salah satu kelas baru terapi barah yang bertindak dengan mensasarkan dan menyekat protein isyarat dalam sel untuk menghentikan pertambahan sel tumor dan juga menyekat bekalan darah ke tumor.
Terapi dengan sasaran khusus ini ditujukan kepada sel barah dan boleh dikatakan tidak menjejaskan sel biasa.
HCC mungkin tidak dapat diubati namun ia boleh dicegah antaranya dengan merawat virus Hepatitis B yang mampu mengurangkan risiko. Mengikuti jadual vaksin Hepatitis B ketika kanak-kanak mampu mengurangkan risiko barah hati pada masa depan.
Elak pengambilan alkohol berlebihan, malah ada pesakit tertentu yang mendapat manfaat daripada ujian saringan hemochromatosis. Sekiranya anda mengalami hepatitis kronik atau chirrhosis, saringan dan pemeriksaan berkala dengan ultrasound hati atau dengan mengukur tahap alpha fetoprotein darah dapat membantu mengesan barah di peringkat awal.
Mereka yang mahu mengikuti Program NexPAP, boleh menghantar permohonan disertakan surat rujukan doktor kepada Yayasan Hati Malaysia. Maklumat lanjut Yayasan Hati Malaysia di talian 03-78426101 .
INFO: Antara simptom barah hati
* Hilang berat badan
* Hilang selera makan
* Terlalu kenyang walau makan sedikit
* Ketulan keras sebelah kanan di bawah tulang rusuk
* Sakit sekitar bahu kanan
* Kuning kehijauan pada kulit dan mata (jaundice)
* Kurang selesa, rengsa bahagian atas perut sebelah kanan
* Kelesuan.
* Loya