Perut Sarang Penyakit
Negara kita makmur dan kerana kemakmurannya itu, kita mewah segala-galanya. Dalam aspek makan dan minum, jarang-jarang kita merungut kerana tidak cukup, malah yang kerap berlaku, kita makan secara berlebihan dan kadangkala membuang makanan begitu sahaja apabila sudah tidak termakan. Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan jika perut itu sarang kepada penyakit, maka melaparkan perut itu adalah raja bagi segala ubat. Keadaan ini tidak bermakna, kita tidak dibolehkan menikmati makanan, tetapi Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengawal pengambilan makanan agar keadaan tubuh badan sihat dan segar. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl ayat 114)
Makanan sebetulnya penting untuk kesuburan rohani. Ini kerana apabila nafsu makan jasmani tidak dikendalikan, ia menjejaskan rohani daripada mengingati Allah SWT. Sifat malas menghantui kita untuk beribadah. Apabila tubuh sakit akibat salah makan misalnya, jumlah ibadat kita kepada Allah jadi terbatas.
Rohani yang bersih tidak lain tidak bukan, dibentuk oleh makanan yang berkhasiat, agar daya ingatan menjadi cerah dan tajam. Oleh itu, hubungan kesihatan serta makanan amat erat dan saling berkait. Makanlah, tetapi harus berpada-pada. Berhenti sebelum kenyang......
No comments:
Post a Comment