Allah SWT Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum
wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka
berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan
kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga
menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan
bertaqwa.
Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba
kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih
keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu
kebanyakannya tidak khusyuk.
Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita
kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar
menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada
suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu
yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada
yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.
Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah
Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak
henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa
kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya
diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa
di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita
akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan
diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut
sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi
mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan
disambut oleh ‘wildan-wildan’nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan
kedudukannya di dalam syurga.
Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah
mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu
telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka
insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan
menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana
takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi
kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan
berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati
demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.
Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat
dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika
dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua
kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau
seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.
Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik
sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya
untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah
perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia
juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya.
Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala
seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata
untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.
Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan
kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang
menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak
yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka
sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan
mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.
Generasi yang bakal mengamankan dunia!
Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik
tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik
muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar.
inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai
kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak
mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak
manapun.
Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa
bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah
sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya
melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya
mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, “Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan”. Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.
Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya
telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila
seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih
khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping
itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.
Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah
yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin
mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah
supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang
bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.
Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan
harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana
takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk
melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan
merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang
merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.
Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi
keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal
berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga
tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan
tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum
(wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya
mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar
kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.
No comments:
Post a Comment