Saturday, November 20, 2010

Bekas polisterina merosakkan sistem pembiakan dan penyebab kanser, leukemia


Bekas polisterina merosakkan sistem pembiakan dan penyebab kanser, leukemia

Bekas makanan polisterina yang banyak
digunakan oleh peniaga makanan kini
merupakan pembunuh senyap tanpa
disedari oleh semua pihak. Disebabkan
kos penggunaan yang murah, ramai tidak
tahu ia mempunyai stirena yang boleh
menyebabkan barah pada organ dalaman
manusia terutama sistem pencernaan,
sel darah dan hati.

Ketika satu laporan khas diterbitkan pada 1 Mei lepas mengenai penggunaan bekas
makanan polisterina yang mampu menjadi pembunuh senyap, Bidai tidak terkejut
kerana Bidai pernah meluahkan perkara yang sama tahun lepas.

Laporan khas yang diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia itu menceritakan secara
terperinci kenapa bekas berwarna putih itu merupakan pembunuh senyap sama ada
kepada manusia dan juga kepada alam sekitar.

Ia digunakan dengan meluas untuk mengisi makanan dan ekoran kosnya yang murah dan
mampu memberikan keuntungan lebih banyak kepada penjual makanan, ia terus
digunakan.

Tak gunalah mana-mana syarikat yang menghabiskan berjuta-juta ringgit hanya untuk
membuat penyelidikan menggantikan bekas polisterina itu dengan bahan lain sebab,
jika bekas gantian itu dijual dengan kos yang tinggi berbanding polisterina, ia
pasti tidak akan mendapat sambutan.

Kecuali di Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengharamkan penggunaan sebarang
bekas polisterina melalui Kempen Tapau-Mania dan memberikan alternatif terbaik
buat warga pelajarnya sama ada mahu memilih untuk menggunakan bekas sendiri atau
bekas makanan mesra alam, Bidai dapat rasakan jika ini tidak diguna pakai di
mana-mana warung, di negara ini, pastinya sambutan terhadap bekas mesra alam akan
pudar.

Sama juga seperti di USM, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga telah mengorak
langkah menggunakan bekas mesra alam yang dikenali sebagai biopak di mana mereka
juga mengenakan tambahan 20 sen kepada pengguna.

Jadi akhirnya, bagai mereka yang tidak mahu membayar lebih 20 sen, mereka akan
membawa bekas makanan sendiri dan ini sedikit sebanyak mampu menghapuskan
penggunaan bekas polisterina.

Mengenai bekas polisterina ini, Ketua Pusat Penyelidik Alam Sekitar Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ku Halim Ku Hamid berkata, biarpun belum ada kajian
mendalam mengenai tahap bahaya bahan itu namun bahan stirena yang berasal daripada
phemynl memang boleh memberi masalah ke pada sistem kesihatan.

Kata beliau, organ-organ dalam badan manusia akan menerima kesan secara tidak
langsung terutamanya kepada sistem pencernaan yang turut melibatkan darah serta
hati.

''Walaupun tiada kajian, namun kewujudan stirena ini tetap ada dalam bekas makanan
malah bertambah bahaya jika sumber makanan atau minuman yang digunakan berasid,''
katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

Ramai yang tidak tahu mengenai perkara ini walaupun hakikatnya ia sudah
berkali-kali diberitahu dan diumumkan.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S.M Mohamed Idris
berkata, bungkusan polisterina yang mengandungi sedikit sisa stirena boleh
menyerap masuk ke dalam makanan jika bekas makanan itu masih baru disebabkan ia
belum sebati manakala yang lama mudah terurai akibat panas dan pancaran matahari.

''Stirena yang meresap dalam makanan itu akhirnya akan masuk ke dalam sistem badan
dan bakal menjejaskan kesihatan manusia,'' jelasnya.

Bidai baca kenyataan dia pun Bidai dah seram. Saban hari kita bergelumang dengan
bekas polisterina itu tanpa mengetahui bahaya mengenainya yang mampu membunuh.

Walaupun belum lagi ada kajian terperinci, Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa
(IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah mengkelaskan stirena sebagai
bahan karsinogen Kumpulan 2B iaitu ejen penyebab kanser.

Malah kesan buruk stirena ini juga akan menyebabkan mutagen yang mampu merubah
genetik dan menyumbang kepada risiko kanser serta merosakkan sistem pembiakan.

Lebih memeranjatkan, pengeluaran polisterina juga membabitkan penggunaan benzena
iaitu bahan karsinogen yang dikaitkan dengan leukemia.

Di Britain, kajian mendapati bahawa polisterina dalam plastik yang digunakan untuk
makanan mengandungi sehingga 80 bahagian persejuta (bps) benzena.

Kalau pembaca perasan, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain
sudah lama tidak menggunakan bahan polisterina pada setiap bekas makanan dan
minuman mereka, sebaliknya mereka lebih banyak menggunakan pembalut kertas yang
mampu dikitar semula.

Ini berikutan, polisterina bukan hanya merosakkan sistem dalaman manusia, namun ia
juga mampu memberikan kesan buruk kepada alam sekitar disebabkan ia mengambil masa
hingga beratus-ratus tahun untuk terurai dengan sepenuhnya.

No comments: